Friday, January 5, 2007

Penjual Bunga

gadis desa
berlenggang ke kota
di tangan kirinya seraga bunga
di tangan kanannya seraga cinta
orang kota selalu membeli
mula-mula bunganya
dan kemudian
cintanya

gadis desa
pulang ke desa
di mata kirinya setetes peristiwa
di mata kanannya setetes rahsia
orang desa selalu bertanya
siapa membeli bunganya
dan memetik
cintanya

~ T. Alias Taib ~

1 comment:

armouris said...

Adakah anda menggemari sajak di atas? Jika anda menggemarinya, cuba anda nyatakan alasannya. Mungkin ada di antara anda yang memberi alasan bentuk luaran puisi ini menarik. Baris-barisnya tidak semua lurus ke bawah, tetapi ada yang 'tertolak' ke kanan. Barangkali penyair berusaha membentuk bunga dengan menggunakan baris-baris tersebut. Jika itu yang anda minati, anda mungkin seorang peminat senilukis.

Ada pula yang meminati bunyi bahasanya. Sajak ini dikuasai oleh bunyi 'a'. Bunyi tersebut membentuk asonansi dan juga rima. Apabila dihubungkan dengan bentuk pengucapan, kita dapati ada pula rentak tertentu :

di tangan kirinya seraga bunga
di tangan kanannya seraga cinta


Keseluruhan rangkap atas semukur simetrikal dengan rangkap bawah. Oleh itu wujud keseimbangan yang jajar di antara bahagian rangkap pertama dengan rangkap kedua. Unsur perulangan jenis anafora digunakan dengan baik juga. Lihat perulangan 'di tangan' dan 'di mata'.

Seterusnya ada yang tertarik dengan isi sajak ini. Dikatakan bahawa gadis desa membawa bunga dna cinta ke kota. Tentulah 'bunga' membawa maksud lain, iaitu bukan bunga betul. Kata bunga tidak digunakan untuk maksud literal, tetapi simbolis. Maksud 'bunga' di situ ialah dirinya yang masih gadis. Bukankah masyarakat Melayu menggunakan bunga untuk melambangkan gadis?

Apa yang terjadi kepada gadis desa yang berhijrah ke kota? Nilainya menurun kerana dirinya dan prasaannya boleh dibeli. Ia tidak murni lagi. Ini tentunya tidak semua, tapi adalah suatu hakikat bahawa pengaruh kota telah menyebabkan nilai gadis tidak lagi seperti gadis dalam masyarakat tradisional.

Penyair mungkin mengkhusus kepada peristiwa tertentu. Akan tetapi, oleh kerana keadaan masyarakat kini sudah dapat difahamai atau ditanggapi secara umum, maka sajak ini dapat diberikan tanggapan oleh orang lain yang tidak mengetahui peristiwa khusus yang dimaksudkan oleh penyair itu. Pemahaman terhadap keadaan yang digambarkan dalam sesebuah puisi boleh membantu anda untuk mencapai tingkat apresiasi yang tinggi.

Telah dikemukan aspek-aspek yang mungkin menarik minat anda, iaitu yang menyebabkan anda tertarik kepada sajak T. Alias Taib di atas. Pada peringkat paling sempurna dari apresiasi ialah anda dapat melihat kesatuan yang harmonis di antara isi dan bentuk (termasuk teknik dan gaya bahasa). Bentuk luaran (visual), bahasa dan isi di dalam sajak ini sama-sama membantu menyempurnakannya sebagai karya seni. Jika anda dapat melihatnya demikian, anda sudah sampai pada satu tingkat apresiasi.

[Sedutan dari buku Mendekati Bahasa Alam]